Sihir dalam perniagaan? Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya menulis artikel ini dalam entri saya kali ini.
Ada lagi ke orang yang buat benda-benda khurafat macam ni pada zaman moden ini? Dengar macam tak logik je kan?
Tapi ketahuilah yang sebenarnya benda yang anda katakan khurafat ini memang benar-benar wujud dan ianya banyak berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Ianya lebih banyak diamalkan oleh mereka yang berniaga.
Tapi sebelum saya teruskan dengan topik kita pada kali ini, sila like Facebook Page Bicara Usahawan dan YouTube Channel Bicara Usahawan supaya anda dapat update-pdate terbaru dan daripada channel-channel berikut.
Jangan lupa juga share artikel-artikel yang ada dalam Blog Bicara Usahawan agar lebih ramai lagi yang akan mendapat manfaat daripada perkongsian-perkongsian yang saya kongsikan dalam blog ini.
Semoga perkongsian ilmu dan kebaikan dapat kita sebarkan kepada mereka yang memerlukannya.
Baiklah, berbalik kepada tajuk utama kita:
Kandungan Artikel
Sihir Dalam Perniagaan Pada Zaman Sekarang
Macam yang saya dah terangkan di atas tadi, bila dengar tentang sihir pada zaman sekarang ni nampak macam tak logik, tapi hakikatnya benda ini memang ada sekarang.
Malah ianya sangat berleluasa dan ianya dah jadi seperti kebiasaan bagi orang sekarang (terutamanya mereka yang berniaga dan berbangsa Melayu) untuk mengamalkan benda-benda khurafat seperti ini.
Bukanlah saya nak merendah-rendahkan bangsa sendiri tapi sebagai kesedaran supaya kita meninggalkan amalan-amalan sihir khurafat ini supaya kita boleh fokus bagaimana nak memajukan ekonomi dan bangsa kita.
Jika kita tak nak menerima kekurangan atau kesalahan kita, kita akan selamanya berada dalam denial state yang mana kita tak akan melakukan perubahan yang positif dalam diri kita kerana kita tak sedar yang kita telah silap.
Perubahan hanya boleh berlaku sekiranya anda tahu apa yang anda silap di mana anda tahu apa yang anda perlu perbetulkan.
Salah satu sebab saya menulis artikel tentang topik sihir ini adalah disebabkan benda ini telah terjadi secara langsung terhadap keluarga saya.
Kebanyakan ahli keluarga saya adalah orang yang berniaga, dan kami dah lalui keperitan, kepahitan, kesakitan dan juga kesukaran yang disebabkan oleh sihir ini.
Bagi siapa yang tak pernah mengalaminya mungkin akan beranggapan yang perkara seperti adalah tahyul dan mengarut, tapi ketahuilah kalau anda mengalaminya anda akan rasa betapa sengsaranya apabila anda disihir oleh orang yang dengki dengan anda.
Rumah tangga akan jadi kacau bilau, porak peranda malah ada kes sampai bercerai berai kerana sihir ini. Ada juga yang dah jadi hilang semangat untuk berniaga. Padahal dah bermacam-macam seminar motivasi dihadiri semata-mata nak dapatkan semula semangat yang hilang.
Jadi, apa puncanya sampai semakin ramai yang mengamalkan sihir ini pada zaman yang serba moden ini?
Berikut adalah 4 punca yang saya dapat rumuskan berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan sihir dalam perniagaan ini.
1. Rapuh Pegangan Agama


Kenapa ramai yang suka mengamalkan sihir ini pada zaman sekarang?
Kerana rapuhnya pegangan agama pada diri sendiri. Apabila rapuh atau lemah pegangan atau ilmu agama, maka rasa takut pada tuhan tiada dalam diri.
Bila tiada rasa takut pada tuhan, itulah jadinya semua benda yang halal atau haram semua dia sapu. Termasuklah benda-benda sihir dan khurafat ini.
Perkara ini tidak akan terjadi pada mereka yang kuat pegangan agama mereka. Mereka yang kuat pegangan agamanya pasti tidak tergamak untuk mengamalkan perkara-perkara yang salah di sisi agama.
Tambahan lagi mereka yang rapuh pegangan agamanya tiada rasa belas dan kasihan kepada sesama manusia lain. Bagi mereka biarlah orang lain binasa asalkan mereka dapat puaskan hati mereka.
Tapi hakikatnya, hati mereka tidak akan merasa puas sampai bila-bila kerana telah dipengaruhi oleh syaitan dan iblis kerana amalan sihir yang mereka lakukan.
Habis A, B pula dicari. Habis B, C pula dicari dan seterusnya. Begitulah halnya bagi mereka yang mengamalkan amalan sihir ini. Rasa dengki dan dendam yang tidak berkesudahan. Mereka tidak akan merasa puas sampai bila-bila.
2. Hati Yang Kotor Dan Rosak


Sekiranya anda perhatikan mereka yang suka mangamalkan amalan sihir khurafat ini adalah mereka yang mempunyai hati yang kotor dan rosak.
Kerana apa?
Kerana mereka tidak senang dan tak boleh melihat kejayaan dan kebahagiaan orang lain. Pada mereka orang lain tak boleh berjaya dan bahagia lebih daripada mereka.
Malah mereka juga ada pemikiran kalau mereka tak berjaya dan bahagia, orang lain juga tak boleh berjaya dan bahagia.
Sebab apa saya katakan begitu? Sebabnya melalui pengalaman saya, kebanyakan usahawan yang di sihir kebanyakannya adalah usahawan Melayu yang nampak maju atau baru nak maju.
Kalau bangsa lain yang maju dan berjaya tak pula disihirnya. Syarikat-syarikat besar yang dah berjaya, tak pula disihirnya.
Yang paling menghairankan adalah mereka yang menyihir usahawan tersebut kebanyakannya adalah mereka yang tak berniaga pun. Tak pernah buat bisnes!
Kalau pesaing tu kita masih boleh faham lagi walaupun apa yang mereka lakukan itu sebenarnya tak betul.
Ini orang biasa yang tak berniaga, dengki sangat kepada orang berniaga maju dan berjaya.
Yang peliknya adalah, kenapa mereka sendiri tak ada inisiatif dan usaha untuk mengubah hidup mereka sendiri dengan berniaga atau buat sesuatu yang lebih berfaedah serta bermanfaat yang mana ianya mampu mengubah nasib dan kehidupan mereka?
Sanggup berhabis bergolok bergadai untuk bayar bomoh untuk menyihir orang lain daripada menggunakan wang tersebut untuk mengubah nasib dan diri mereka.
Pemikiran seperti inilah yang menyebabkan bangsa kita (Melayu) terutamanya susah nak maju dan berjaya dalam semua bidang yang kita ceburi.
Baru nak maju sikit dah kena sihir. Macam mana kita nak berjaya kalau PHD (Perasaan Hasad Dengki) sangat tebal dalam hati kita.
Bila lihat orang berjaya, bukannya nak membantu, tapi menjatuhkan dan menjahanamkan lagi ada lah.
Bila hati kotor, perkara yang baik dah tak nampak di mata, apa yang mereka nampak adalah perkara-perkara yang buruk.
Itulah sebabnya selagi ada kekotoran dalam hati, selagi itulah mereka yang mengamalkan sihir ini tidak akan senang nampak orang lain berjaya dan bahagia lebih daripada mereka.
Prinsip mereka, biar mereka tak berjaya dan bahagia tapi jangan ada orang lain yang berjaya dan bahagia lebih daripada mereka.
Sakit hati mereka bila melihat kejayaan dan kebahagiaan orang lain. Tak akan berasa senang dan tenang hati mereka apabila melihat orang lain lebih daripada mereka.
3. Shortcut Dalam Perniagaan


Ada juga usahawan yang menggunakan sihir untuk kepentingan diri mereka sendiri seperti sihir pelaris. Sihir digunakan sebagai satu cara shortcut untuk mendapatkan jualan dan keuntungan yang cepat.
Tak kurang juga sebagai shortcut untuk menghapuskan persaingan dalam perniagaan kerana mereka tak akan senang dan takut dengan persaingan.
Jadi cara mudah untuk menjatuhkan pesaing adalah dengan menggunakan sihir.
Kenapa perkara seperti ini terjadi?
Sebabnya kurang ilmu tentang pemasaran dan juga jualan! Mereka tak nak belajar tambah ilmu-ilmu pemasaran dan jualan, sebaliknya mereka sanggup bergolok bergadai untuk jumpa bomoh untuk mendapatkan sihir pelaris perniagaan atau menjatuhkan pesaing mereka.
Jika inilah perangai yang ada dalam diri usahawan, tak mustahil lah produk-produk, makanan-makanan yang dihasilkan tiada kualiti dan mutu. Mereka hasilkan produk dan memasak makanan untuk pelanggan adalah sebagai melepaskan batuk di tangga.
Bagi mereka produk-produk atau makanan-makanan yang mereka jual adalah sebagai sebab untuk mereka dapatkan duit daripada pelanggan mereka. Tak ada langsung inisiatif untuk tambah baik produk dan makanan yang mereka jual.
Kalau 10 tahun, 10 tahun lah mereka jual produk dan makanan yang sama yang mana ianya tak ada kualiti dan kalau makanan ianya tak sedap.
Lepas tu bila ada usahawan lain berniaga di kawasan mereka, mula lah mereka rasa tak senang duduk kerana pada anggapan mereka usahawan tersebut mengganggu periuk nasi mereka.
Mereka yang berfikiran seperti ini adalah mereka yang tidak percaya dengan rezeki pemberian tuhan.
Kerana fikiran cetek mereka inilah yang menyebabkan mereka tak maju walaupun telah lama berniaga di kawasan tersebut. Mana taknya, duit banyak dihabiskan untuk membayar bomoh untuk mendapatkan sihir berbanding melabur untuk menambah dan mendapatkan ilmu perniagaan yang sesuai dengan mereka.
4. Malas Belajar Untuk Tambah Ilmu Perniagaan


Kebanyakan mereka yang sangat suka menggunakan sihir ni adalah mereka yang tak suka dan tak mahu nak tambah ilmu perniagaan mereka.
Apabila mereka kekurangan ilmu pengetahuan tentang ilmu perniagaan, mereka akan kekurangan option yang mereka boleh gunakan untuk kembangkan atau majukan lagi bisnes mereka.
Jadi disebabkan kurang ilmu dan kurang option untuk kembangkan bisnes, majukan bisnes, menghadapi persaingan dalam perniagaan secara sihat, maka mereka akan menggunakan shortcut untuk mencapai objektif dan tujuan mereka dengan menggunakan sihir.
Kita perlu sentiasa menambah ilmu-ilmu perniagaan yang kita ada kerana ilmu-ilmu perniagaan sentiasa mengalami evolusi dan juga perubahan seiring dengan perkembangan teknologi dan waktu.
Kita boleh lihat ada teknik-teknik pemasaran yang digunakan 10 tahun dahulu tak sama dengan teknik pemasaran yang kita gunakan sekarang. Bukan itu sahaja, teknik pemasaran di Facebook pun dah tak sama dengan teknik pemasaran Facebook yang kita tahu 10 tahun lalu.
Ada terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam Facebook kalau kita bandingkan dengan Facebook semasa ianya mula-mula dicipta sehingga hari ini. Ini memerlukan ilmu-ilmu yang baru dan up to date untuk anda survive apabila anda berniaga di Facebook.
Jadi anda nampak tak betapa pentingnya untuk anda tambah ilmu pengetahuan anda sentiasa supaya anda tidak terjerebak dengan benda-benda khurafat seperti sihir ini.
Ingatlah, Allah telah berfirman dalam Al-Quran bahawa Allah akan mengampunkan semua dosa kecuali dosa syirik.
Janganlah disebabkan kita nak shortcut berjaya dan menjatuhkan pesaing (kerana takut atau tak tahu nak bersaing secara sihat) kita pilih mensyirikkan Alllah dengan mengamalkan sihir.
Ramai yang sanggup berhabis ribuan, puluh ribu malah ada yang sampai berbelanja berjuta ringgit semata-mata untuk bayar bomoh yang konon-kononnya mempunyai sihir yang power daripada membelanjakan jumlah yang sama untuk dapatkan ilmu-ilmu perniagaan.
Nampak tak kebodohan yang berlaku di sini? Sanggup berhabis bergolok gadai untuk dapatkan sihir yang mensyirikkan Allah daripada dapatkan ilmu yang betul tentang perniagaan yang mana dengan ilmu ini mampu memajukan perniagaan yang mereka sedang buat.
Bukan saya nak pukul rata pengamal perubatan alternatif yang ada di luar sana kerana saya sendiri telah mengalami kesan disebabkan sihir ini pada keluarga saya. Saya juga mendapatkan perkhidmatan dan bantuan daripada pengamal perubatan alternatif di luar sana sebagai ikhtiar saya untuk menyelesaikan masalah sihir yang di alami oleh keluarga saya.
Malah saya bersyukur kepada Allah kerana telah temukan pengamal perubatan alternatif yang betul untuk menyelesaikan masalah saya.
Kesimpulan
Kita sebagai usahawan dan sebagai umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, tidak sepaturnya kita mengambil amalan-amalan syirik seperti sihir sebagai jalan untuk memajukan bisnes kita.
Ketahuilah, bisnes anda tak akan maju jika anda mengamalkan perkara-perkara khurafat seperti ini. Kerana pemikiran yang percaya dengan perkara-perkara khurafat inilah yang akan menyekat kita daripada maju dalam perniagaan kita.
Anda mungkin akan berasa puas hati apabila anda dapat lihat pesaing anda jatuh disebabkan sihir yang anda buat. Tapi percayalah, anda tak akan berasa puas sampai bila-bila.
Akan ada pesaing lain yang anda nak jatuhkan dengan amalan sihir yang anda amalkan. Tumbang pesaing A, anda akan cari cara untuk jatuhkan pula pesaing B. Dan perkara ini akan berlarutan sampai anda meninggalkan dunia ini.
Akhir kata, jadilah seorang peniaga yang baik dan bersainglah dengan cara yang sihat. Jauhilah perkara-perkara khurafat dan syirik seperti sihir ini dalam perniagaan anda.
Janganlah disebabkan nak mengejar kepuasan di dunia, anda merana di “sana” nanti. Mana yang baik sama-sama kita jadikan ikhtibar. Mana yang tak baik kita jadikanlah sebagai sempadan.
Jumpa lagi dalam artikel yang akan datang!