Jom tengok kupasan mengenai lesen perniagaan ini dalam bentuk video di YouTube Channel Bicara Usahawan!
Jangan lupa juga subscribe dan tekan loceng notification YouTube Channel Bicara Usahawan!
Dah baca artikel mengenai Harga Kawan Makan Kawan? Anda boleh baca artikel tersebut di sini.
Semoga artikel tersebut boleh beri manfaat kepada anda.
Baiklah dalam artikel kali ini saya akan kupaskan satu ropik yang sangat penting untuk anda yang nak berniaga tak kira sama ada secara online ataupun offline.
Setiap mereka yang nak berniaga wajib untuk memohon lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Tahukah anda dengan tidak mendaftarkan perniagaan, anda boleh didakwa di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak lebih dua (2) tahun.
Ini menunjukkan betapa seriusnya hukuman yang dikenakan kepada mereka yang tidak mendaftar dan mendapatkan lesen perniagaan yang sah dengan SSM.
Ramai juga usahawan yang saya jumpa tak mahu daftar dan dapatkan lesen perniagaan yang sah untuk perniagaan mereka atas alasan tak dapat Bantuan Sara Hidup (BSH) bila nama ada dalam SSM.
Kalau dulu takut tak dapat BR1M (benda yang sama sahaja. Nama lain sebab pemerintah bertukar).
Tapi rami yang tak tahu banyak kelebihannya kalau anda daftarkan perniagaan anda dan dapatkan lesen perniagaan yang sah dengan SSM.
Contohnya, baru-baru ni kerajaan ada umumkan Geran Khas Prihatin (GKP). Ramai peniaga yang berdaftar secara sah dengan SSM mendapat bantuan daripada GKP ni.
Ianya menjadi kerugian kepada sesiapa yang tiada lesen perniagaan yang sah daripada SSM kerana salah satu kriteria untuk memohon bantuan ini adalah sijil SSM yang sah.
Bukan itu sahaja sebenarnya, banyak lagi geran-geran atau bantuan yang diberikan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan untuk usahawan.
Jadi janganlah disebabkan takut tak dapat BSH, anda tak daftarkan lesen perniagaan yang sah dengan SSM.
Jika anda ditangkap berniaga tanpa mendaftar perniagaan anda, lagi banyak yang anda perlu bayar siap boleh kena penjara lagi!
Jadi jangan takut nak daftar perniagaan dan dapatkan lesen perniagaan anda yang sah supaya anda boleh dapat kelebihan-kelebihan yang disediakan untuk perniagaan yang berdaftar.
Alamak, tertulis panjang pulak intro artikel saya kali ini. Bukan apa saya nak anda faham yang daftar perniagaan dan dapatkan lesen perniagaan anda adalah sangat penting.
Baiklah jom kita berbicara tentang jenis-jenis lesen perniagaan yang boleh anda daftar dengan SSM.
Kandungan Artikel
Jenis-jenis Lesen Perniagaan Yang Anda Boleh Daftar Dengan SSM
Ada 4 jenis lesen perniagaan yang anda boleh daftar melalui SSM. 4 jenis lesen tersebut adalah seperti di bawah:
- Lesen Perniagaan Jenis Enterprise
- Persendirian
- Perkongsian
- Lesen Perniagaan Jenis PLT/LLP
- Lesen Perniagaan Jenis Sendirian Berhad
- Lesen Perniagaan Jenis Berhad
Itu adalah 4 jenis lesen perniagaan yang boleh anda daftar di SSM.
Jom kita tengok setiap jenis lesen ini agar anda faham dan tahu yang mana satu yang sesuai dengan perniagaan anda sekarang.
Lesen Perniagaan Jenis Enterprise


Lesen jenis ini sangat sesuai bagi mereka yang baru sahaja bermula untuk berniaga. Saya juga masa pernulaan berniaga secara online, saya daftar lesen jenis ini.
Lesen ini adalah lesen yang sangat mudah untuk anda daftarkan tambah pula yuran pendaftarannya sangat murah. Jadi ianya diwujudkan untuk membantu mereka yang baru mula nak berniaga.
Bagi perniagaan yang didaftarkan di bawah Enterprise, anda dan perniagaan anda adalah satu entiti. Maksudnya apa yang terjadi kepada pemilik juga akan memberi kesan kepada perniagaan. Begitu juga sebaliknya.
Contoh: Kalau perniagaan anda diishtihar muflis, pemilik perniagaan tersebut juga akan diishtiharkan muflis. Harta-harta milik pemilik perniagaan tersebut boleh diambil untuk melangsaikan hutang.
Jadi sila berhati-hati dan uruskan perniagaan anda dengan betul supaya anda dan perniagaan anda tidak jatuh bersama.
Lagi satu kelebihan perniagaan Enterprise adalah akaun anda tidak perlu diaudit. Anda perlu jujur dan kawal cash flow perniagaan anda sendiri.
Jika tidak diurus dan dikawal dengan baik mungkin akan berlaku banyak kebocoran dalam cashflow perniagaan anda.
Ada 2 jenis lesen yang anda boleh daftarkan di bawah lesen Enterprise ni.
- Persendirian
- Perkongsian
Lesen Enterprise Persendirian
Bagi mereka yang bermula secara solo ataupun sendirian, anda boleh daftarkan perniagaan anda dengan lesen Enterprise Persendirian.
Ini info ringkas mengenai lesen Enterprise Persendirian ini:
- Boleh daftar secara persendirian. Tak perlukan partner untuk daftar lesen jenis ini.
- Yuran pendaftaran hanya RM 70 setahun.
- Proses pendaftaran yang cepat. Biasanya dalam 30 minit dah siap lesen anda.
- Boleh set nak renew setahun sekali atau sehingga maksimum 5 tahun terus.
- Dah boleh buat cop dan buat akaun perniagaan menggunakan lesen ini.
- Pegangan perniagaan adalah 100% dimiliki oleh pemilik perniagaan tersebut.
Biasanya untuk buka akaun bank perniagaan ini dalam RM 1000 – 2000 mengikut bank. Tapi jangan risau, anda boleh keluarkan balik duit yang anda gunakan untuk buka akaun tadi.
Biasanya untuk perniagaan Enterprise anda perlukan seorang introducer yang mempunyai akaun aktif di bank tersebut sekurang-kurangnya 6 bulan.
Ikut pengalaman saya untuk buka di CIMB Bank dalam RM 1500 (itu tahun 2014). Untuk Maybank dalam RM 1000 (ini yang terbaru tahun 2020)
Proses untuk buka akaun biasanya makan masa dalam seminggu lebih untuk akaun perniagaan tadi siap.
Lesen Enterprise Perkongsian
Bagi mereka yang baru mula dan ada rakan kongsi anda boleh daftar lesen Enterprise Perkongsian ini.
Anda boleh daftar sekurang-kurangnya 2 rakan kongsi dan maksima 20 orang.
Ini adalah sedikit info ringkas mengenai lesen Enterprise Perkongsian ini:
- Wajib daftar bersama rakan kongsi (partner). Semua partner yang ingin mendaftar perlu hadir semasa proses pendaftaran.
- Yuran pendaftaran hanya RM 70 setahun.
- Proses pendaftaran biasanya cepat bergantung kepada kehadiran partner anda. Kalau lambat, maka lambatlah proses pendaftaran. Kalau tiada masalah dalam 30 minit dah siap lesen anda.
- Boleh set nak renew setahun sekali atau maksimum 5 tahun terus.
- Dah boleh buat cop dan buka akaun perniagaan.
- Anda digalakkan untuk buat perjanjian perkongsian untuk melindungi semua pihak di dalam perniagaan yang telah anda daftarkan tadi.
Untuk akaun bank perniagaan, ianya sama seperti bagaimana nak buka akaun perniagaan Enterprise Persendirian.
Lesen Perniagaan Jenis PLT/LLP


Lesen PLT/LLP ini juga dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad (Private Limited/ Limited Liability Partnership).
Untuk anda mudah faham, perniagaan jenis ini adalah perniagaan seperti Sendirian Berhad tetapi peraturan untuk perniagaan ini agak longgar berbanding Sendirian Berhad.
Usahawan yang menggunakan lesen ini, biasanya mereka yang mula serius dalam perniagaan yang mereka jalankan.
Seperti Sendirian Berhad, pemilik dan perniagaan adalah 2 entiti yang berbeza. Ini bermaksud apa yang berlaku kepada perniagaan tidak akan memberi kesan kepada pemilik.
Cuma yang membezakan PLT/LLP dengan Sendirian Berhad adalah PLT/LLP tidak perlu menghantar audit kewangan kepada SSM.
Sebab itulah ada usahawan yang suka dengan lesen jenis ini kerana ianya ala-ala syarikat Sendirian Berhad tetapi anda tak perlu hantar audit kewangan kepada SSM. Anda hanya perlu menghantar pengisytiharan untung atau rugi sahaja kepada SSM setiap tahun.
Itu sahaja yang anda perlu lakukan dan tak perlu untuk hantar penyata kewangan kepada SSM. Kalau anda gagal mengisytiharkan untung atau rugi anda boleh didenda sehingga RM 30,000.
Malah, pemilik dalam perniagaan jenis PLT/LLP ini boleh ditukar ganti sama seperti syarikat Sendirian Berhad. Jadi saya nasihatkan bagi mereka yang nak daftar perniagaan atau syarikat di bawah lesen PLT/LLP supaya anda buat perjanjian perkongsian untuk melindungi hak setiap pihak di dalam syarikat tersebut.
Daripada segi yuran pula, untuk daftar lesen perniagaan jenis ini anda perlu membayar RM 800 sekali daftar. Selepas itu anda perlu membayar RM 200 setiap tahun semasa anda isytiharkan keuntungan atau kerugian syarikat.
Dari segi buka akaun bank pula, ada sedikit kesukaran sebab tak banyak bank yang menyediakan servis untuk buka akaun bank syarikat PLT/LLP ini.
Caj yang dikenakan untuk buka akaun pula sangat tinggi berbanding daripada buka akaun untuk lesen perniagaan jenis yang lain.
Contoh: Untuk buka akaun bank syarikat PLT/LLP di Public Bank, anda perlu deposit sebanyak RM 5000. Ini caj yang paling tinggi yang pernah saya jumpa untuk buka akaun bank syarikat/perniagaan.
Dari segi validity pula, ianya tidak seperti Enterprise yang mana anda perlu renew setiap tahun. Syarikat PLT/LLP akan terus hidup selagi anda tidak pergi ke SSM untuk menutup sendiri syarikat tersebut.
Cuma anda perlu isytihar untung atau rugi setiap tahun kepada SSM berserta RM 200. Gagal berbuat demikian, anda bakal berdepan dengan denda.
Lesen Perniagaan Jenis Sendirian Berhad


Lesen perniagaan ini juga dipanggil sebagai syarikat. Anda biasa dengar kan orang kata syarikat sendirian berhad (syarikat sdn bhd)?
Bagi usahawan yang betul-betul serius dengan perniagaan yang mereka jalankan, mereka akan daftar perniagaan mereka menggunakan lesen jenis sendirian berhad ini.
Untuk mendaftar syarikat sendirian berhad ini anda perlu sekurang-kurangnya 2 orang rakan kongsi (termasuk anda). Maksimum yang boleh mendaftar dengan syarikat sendirian berhad ini adalah sebanyak 50 orang rakan kongsi.
Untuk mereka yang mendaftar di bawah lesen perniagaan syarikat sendirian berhad, pemilik dan syarikat adalah 2 entiti yang berbeza. Ini bermakna apa yang berlaku kepada syarikat tidak akan memberi kesan kepada pemiliknya. Begitu juga sebaliknya.
Contoh: Jika syarikat diisytihar muflis, ianya tidak akan memberi kesan kepada pemilik syarikat tersebut. Yang akan diambil untuk menjelaskan hutang-hutang syarikat adalah aset-aset syarikat sahaja.
Dari segi yuran untuk mendaftar syarikat sendirian berhad pula, ianya bergantung kepada setia usaha syarikat (Company Secretary). Harga bergantung kepada dengan siapa yang anda berurusan.
Biasanya kalau ikut pengalaman saya harga antara RM 1600 – 2500. Itu adalah kadar bayaran setia usaha syarikat yang menguruskan syarikat anda.
Oh ya saya lupa untuk bagitahu, anda hanya boleh daftar syarikat sendirian berhad melalui setia usaha syarikat sahaja. Jadi jangan memandai mandai nak buka sayrikat sendirian berhad dekat SSM sendiri pulak ye!
Ada banyak kelebihan bila anda daftar syarikat sendirian berhad ini. Walaupun untuk daftar nampak mahal, sebenarnya banyak faedah dan kelebihan yang bakal anda perolehi.
Antaranya yang paling usahawan suka adalah boleh dapat pengecualian cukai. Ada banyak pengecualian cukai yang boleh dibuat melalui syarikat sendirian berhad ini. Anda boleh rujuk kepada setia usaha syarikat anda untuk pengecualian cukai ini.
Untuk buka akaun bank juga sangat mudah. Anda tak perlu bersusah payah untuk mencari introducer untuk buka akaun bank syarikat anda.
Biasanya setia usaha syarikat sudah sediakan dokumen untuk setiap pengarah syarikat tanda tangan dan hantar kepada pihak bank. Semua urusan buka akaun senang dan uruasan buka akaun ini biasanya boleh siap dalam masa seminggu sahaja.
Dari segi pemilikan syarikat pula ianya bergantung kepada jumlah pengangan modal pengarah syarikat. Siapa yang memberi modal yang paling tinggi mempunyai majoriti kata putus dalam setiap keputusan yang dibuat untuk syarikat.
Dengan kata lain, orang yang ada share terbesar ni ketua dalam syarikat tersebut. Ketua ini pula boleh bertukar ganti berdasarkan jumlah share syarikat dan mengikut persetujuan semua ahli lembaga pengarah syarikat.
Syarikat sendirian berhad diwajibkan untuk menghantar penyata kewangan yang telah diaudit kepada SSM. Ini akan membuatkan anda lebih berjaga-jaga dalam cashflow syarikat anda.
Anda tak boleh nak belanjakan duit syarikat anda sesuka hati kerana ianya akan disoal dan dihantar kepada SSM. BIasanya mereka yang mempunyai syarikat sendirian berhad ini sangat berjaga-jaga dalam perbelanjaan syarikat untuk bagi nampak akaun mereka kemas.
Bukan sebab nak diaudit dan dihantar kepada SSM sahaja, ianya boleh juga digunakan untuk memohon pinjaman bank atau geran-geran yang dikeluarkan oleh kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.
Jadi dari segi bantuan, memang banyak bantuan yang diberikan kepada syarikat sendirian berhad ini. Cuma anda kena jaga akaun syarikat dengan baik supaya ianya cantik semasa anda nak memohon bantuan-bantuan tersebut.
Bagi mereka yang serius dalam perniagaan, saya highly suggest untuk anda daftarkan perniagaan anda di bawah sendirian berhad untuk perniagaan anda pergi lebih jauh.
Lesen Perniagaan Jenis Berhad


Lesen jenis ini pula boleh dikatakan sebagai versi upgrade kepada syarikat sendirian berhad. Cuma untuk mendaftar sayrikat jenis ini, anda perlu sekurang-kurangnya 2 orang pemegang saham dan tiada had maksima.
Ini bermaksud anda boleh cari seramai mungkin pemegang saham yang anda mahukan untuk tujuan mengumpul modal (raised up capital) untuk syarikat berhad.
Biasanya mereka yang mendaftarkan syarikat berhad ini adalah syarikat sendirian berhad yang ingin meningkatkan lagi modal syarikat untuk mengembangkan syarikat mereka.
Ini disebabkan syarikat berhad mempunyai kelebihan kerana ia boleh disenaraikan di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Dari segi pemilikan pula, syarikat ini dimiliki oleh pemegang-pemegang saham yang melabur dalam syarikat tersebut.
Syarikat berhad diwajibkan untuk mengadakan Annual General Meeting (AGM) bersama pemegang-pemengang saham untuk mengenal pasti hala tuju syarikat.
Tak banyak yang saya boleh huraikan mengenai syarikat berhad ini sebab saya tiada pengalaman mengendalikan syarikat jenis ini. Ini berdasarkan pembacaan dan apa yang saya belajar (asas) mengenai syarikat jenis ini di internet.
Lagi satu disebabkan oleh penglibatan saya dalam dunia saham yang mana saya perlu mengkaji syarikat-syarikat yang ada dalam BSKL untuk saya melabur dalam syarikat tersebut.
Pengalaman saya hanyalah sebagai pelabur dalam syarikat berhad sahaja. Kalau anda tanya lebih-lebih memang saya tak boleh nak jawab tentang syarikat berhad ini.
Tapi sekiranya anda ada pengalaman, anda boleh kongsikannya di ruangan komen supaya lebih ramai yang boleh dapat manfaat daripada perkongsian anda.
Kesimpulan
Kalau nak berniaga biarlah berniagadnegan cara yang sah. Pilihlah lesen perniagaan yang sesuai dengan tahap perniagaan anda sekarang.
Anda boleh bermula dengan lesen perniagaan jenis Enterprise sekiranya anda baru bermula. Saya juga bermula dengan lesen Enterprise juga.
Kemudian jika anda nak lebih serius dalam perniagaan yang anda jalankan, anda boleh daftar PLT/LLP ataupun lagi bagus anda daftar sendirian berhad terus.
Bukan apa, banyak kelebihan sekiranya anda daftar syarikat sendirian berhad ni. Lagi lama usia syarikat sendirian berhad anda, lagi bernilai syarikat tersebut (jika diuruskan dengan betul).
Ok saya rasa sampai sini dahulu artikel saya kali ini. Semoga ianya bermanfaat untuk anda.
Kalau anda rasa artikel ini bermanfaat boleh kongsikan artikel ini supaya lebih ramai lagi yang akan mendapat manfaat daripadanya.