Masih ramai yang keliru atau tidak tahu yang permit kebenaran berniaga dan lesen perniagaan (lesen SSM) ada 2 benda yang berbeza.
Bagi yang masih blur mengenai apa itu lesen perniagaan dan jenis-jenis lesen perniagaan yang ada di luar sana, anda boleh baca kupasan yang lebih lanjut mengenai jenis-jenis lesen perniagaan dalam entri atau artikel sebelum ini.
Boleh baca: Jenis-jenis Lesen Perniagaan Yang Perlu Anda Tahu
Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut mengenai topik kita pada kali ini, jangan lupa untuk Subscribe Channel YouTube Bicara Usahawan dan like Facebook Bicara Usahawan.
Jangan lupa juga untuk share YouTube Channel, Facebook Page dan Website Bicara Usahawan kepada rakan-rakan anda supaya mereka juga boleh mendapat manfaat daripada penulisan-penulisan dan juga video-video yang saya kongsikan.
Benda baik biarlah ianya dipanjang-panjangkan serta dikongsi bersama kan?
Baiklah untuk tidak membuang masa lagi, jom kita kupaskan topik kita dengan lebih lanjut dalam artikel kali ini.
Kandungan Artikel
4 Perbezaan Lesen SSM Dan Permit Kebenaran Berniaga


Ada 4 perbezaan ketara yang ada pada lesen perniagaan (SSM) dan juga permit kebenaran berniaga ini. Jom kita tengok apa perbezaannya!
Diuruskan Oleh 2 Jabatan Yang Berbeza


Anda perlu tahu yang lesen perniagaan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). SSM adalah satu badan kerajaan yang diberi kuasa untuk mengawal selia setiap aktiviti perniagaan yang ada di Malaysia.
Senang cerita, kalau nak berniaga kena minta atau pohon lesen perniagaan dengan SSM dulu baru boleh berniaga. Tak kisah lah anda berniaga secara atas talian (online) atau secara konvensional (offline).
Asalkan namanya berniaga, ada transaksi jual beli, anda wajib berdaftar dengan SSM. Kalau anda berniaga dan tidak berdaftar dengan SSM, anda sedang menjalankan perniagaan secara HARAM!
Anda boleh dikenakan denda atau hukuman yang melibatkan wang dan penjara. Jangan main-main dengan hal yang begini ok!
OK itu sedikit sebanyak penjelasan mengenai siapa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan dan meluluskan lesen perniagaan.
Faham? Jom kita teruskan.
Ok Seterusnya adalah permit kebenaran berniaga atau lebih dikenali sebagai lesen majlis. Permit kebenaran berniaga atau lesen majlis ini pula dikeluarkan untuk mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan di premis-premis perniagaan.
Dengan kata lain, kalau anda menjalankan aktiviti perniagaan di kedai atau premis-premis perniagaan, anda kena memohon permit kebenaran berniaga atau lesen majlis ini.
Kalau anda menjalankan aktiviti perniagaan tanpa permit kebenaran berniaga atau lesen majlis ini, anda boleh dikenakan kompaun (saman) atau premis anda akan disita oleh pihak majlis.
Badan kerajaan yang bertanggung jawab untuk menguruskan pengeluaran permit kebenaran berniaga atau lesen majlis ini adalah pihak PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) di kawasan di mana terletaknya premis tersebut.
Untuk pengetahuan anda, PBT untuk setiap kawasan adalah berbeza. Ada Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.
Setiap kawasan mempunyai PBT mereka yang tersendiri mengikut tahap pembangunan dan perbandaran kawasan tersebut. Anda boleh lihat dengan lebih lanjut mengenai Kerajaan Tempatan di Malaysia di sini.
Dokumen Sokongan Yang Berlainan


Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan oleh PBT untuk meluluskan lesen kebenaran berniaga di premis adalah berlainan daripada apa yang diminta oleh SSM apabila anda mendaftar syarikat/perniagaan.
Mengikut pengalaman saya, anda perlu berurusan dengan banyak agensi dan jabatan untuk melengkapkan permohonan anda. Boleh kata semua dokumen tersebut, kalau dihantar sangatlah tebal kerana ada sesetengah dokumen memerlukan beberapa salinan (paling kurang 4 salinan).
Seperti yang saya dah tulis sebentar tadi, anda perlu berurusan dengan banyak agensi dan jabatan kerajaan untuk melengkapkan borang permohonan anda. Namun ia tak sama antara satu PBT dengan PBT yang lain.
Pengalaman saya adalah dengan MPKJ. Saya perlu berurusan dengan jabatan bangunan, bomba dan penyelamat, pest control, klinik kesihatan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Duit pun banyak juga keluar sebab anda perlu bayar sejumlah amoun untuk mendapat kelulusan setiap agensi dan jabatan tersebut.
SSM Untuk Perniagaan, Permit Kebenaran Berniaga Untuk Premis Perniagaan


Seperti yang telah saya terangkan di atas tadi, Permit Kebenaran Berniaga daripada PBT adalah untuk premis perniagaan di mana perniagaan anda dijalankan.
Berbeza dengan SSM, ia hanya fokus kepada perniagaan yang anda jalankan. Setiap perniagaan yang dijalankan di Malaysia wajib berdaftar dengan SSM.
Sekiranya anda berniaga secara online atau atas talian dan tidak memiliki premis perniagaan, anda cukup sekadar mendaftarkan perniagaan anda dengan SSM.
Namun lain pula ceritanya jika anda berniaga di premis perniagaan. Anda wajib juga mendaftar dengan PBT di mana premis perniagaan anda beroperasi.
Dengan kata lain, sekiranya anda berniaga di premis perniagaan, anda wajib mendaftar perniagaan anda dengan SSM dan premis perniagaan anda dengan PBT di mana premis perniagaan anda beroperasi.
Yuran Pendaftaran Tahunan Yang Berbeza


Yuran pendataran perniagaan SSM adalah serendah RM 70 setiap tahun (setakat artikel ini ditulis) dan ia adalah kadar bayaran yang tetap di seluruh negara (kecuali di Sabah dan Sarawak).
Bagi Permit Kebenaran Berniaga yang dikeluarkan oleh PBT, yuran tahunannya adalah berbeza mengikut di mana premis perniagaan anda beroperasi.
Jika premis anda berada di Kajang, anda perlu berurusan dengan MPKJ (Majlis Perbandaran Kajang). Maka yuran tahunan yang dikenakan adalah mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh MPKJ.
Jika premis anda berada di Kuala Lumpur, anda perlu berurusan dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Maka yuran tahunan yang dikenakan adalah tertakluk kepada kadar yang telah ditetapkan oleh DBKL.
Yuran tahunan yang dikenakan tidak sama mengikut tempat di mana premis perniagaan anda berada kerana setiap PBT ada sistem pentadbirannya masing-masing. Oleh itu setiap PBT memang tidak sama di setiap kawasan.
Kesimpulan
Lesen SSM diperlukan oleh setiap usahawan yang ingin berniaga. Namun, jika anda tidak berniaga di premis perniagaan, anda tidak perlu mendaftar atau memohon Permit Kebenaran Berniaga di premis perniagaan kerana anda tidak menjalankan sebarang operasi di premis perniagaan.
Sekiranya perniagaan anda menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di premis perniagaan, anda wajib untuk memohon Permit Kebenaran Berniaga di premis perniagaan. Sekiranya anda tidak mempunyai permit kebenaran ini, anda sedang menjalankan aktiviti perniagaan di premis perniagaan secara haram.
Ia salah di sisi undang-undang dan anda mungkin boleh dikenakan tindakan seperti denda atau saman dan mungkin juga akan di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
Jadi jika anda menjalankan aktiviti perniagaan anda di premis-premis perniagaan, anda wajib untuk mendaftarkan perniagaan anda dengan SSM dan PBT di mana premis perniagaan anda berjalan.
Jika anda inginkan perniagaan anda berkembang, anda perlu memiliki premis perniagaan untuk menjalankan perniagaan anda supaya perniagaan anda nampak lebih profesional.
Bukan itu sahaja, banyak juga geran-geran dan bantuan daripada kerajaan serta agnsi-agensi yang berkaitan untuk mereka yang berniaga secara sah di premis-premis perniagaan.
Jadi, pilihan adalah di tangan anda, sama ada anda ingin berniaga secara biasa-biasa atau luar biasa dengan berniaga secara profesional di premis perniagaan yang sah.
Baiklah, sampai di sini dahulu artikel kali ini. Semoga ia bermanfaat buat anda dan jika anda kongsikan manfaat ini kepada rakan-rakan atau orang lain yang memerlukan, ia akan memberikan semangat kepada saya untuk menghasilkan lebih lagi artikel-artikel yang bermanfaat buat anda.
Sehingga bertemu lagi dalam artikel yang akan datang.